Jenazah Nadia Kesuma akan dikebumikan di Jeddah

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Januari – Jenazah ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Nadia Kesuma tidak akan dibawa pulang ke Malaysia, sebaliknya akan dikebumikan di Jeddah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah Nadia Kesuma akan dikebumikan di Jeddah dan ditempatkan di Hospital King Fahad selepas disahkan meninggal dunia.
  • Seniman memuji sumbangan allahyarhamah sebagai ahli aktif, berdedikasi dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga.
  • Suami dijangka berlepas ke Jeddah untuk urus jenazah; Wisma Putra dan Menteri Luar Negeri memberikan sokongan kepada keluarga.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, allahyarhamah disifatkan sebagai seorang ahli yang aktif, rajin, berdedikasi dan mudah mesra.

Malah, pemergian allahyarhamah dianggap satu kehilangan besar kepada warga Seniman.

“Seniman mendoakan agar roh allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta berharap keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.

Seniman turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, atas keprihatinan dan sokongan Wisma Putra bagi membantu keluarga allahyarhamah.

Pada masa sama, Seniman menyeru orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi, kenyataan atau komen yang boleh mengguris perasaan keluarga allahyarhamah.

Terdahulu, allahyarhamah dilaporkan hilang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 15 Januari 2026.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak berkuasa lapangan terbang mendapati, allahyarhamah rebah akibat serangan jantung di dalam kawasan lapangan terbang sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak berkuasa lapangan terbang.

Allahyarhamah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 8.07 pagi waktu tempatan pada hari yang sama dan jenazah kini ditempatkan di Hospital King Fahad, Jeddah.

Suami Allahyarhamah, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan, dijadualkan berlepas ke Jeddah petang ini bagi menguruskan jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: