fb fb fb fb fb

Jenazah empat beranak terbabit kemalangan di Bentong selamat dikebumikan hari ini

KOTA BHARU, 29 Januari - Jenazah empat beranak yang maut selepas kenderaan mereka dirempuh kenderaan pikap di Kilometer (KM) 2, Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di Bentong petang semalam, selamat dikebumikan pagi tadi.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, jam 9.50 pagi.

Terdahulu, jenazah empat beranak, Raihan Mohamad, 43 tahun dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14 tahun Ahmad Muaz, 7 tahun dan Ahda Imtinan berusia lima tahun tiba di kawasan perkuburan pada jam 8.30 pagi dengan van jenazah selepas disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin.

Sementara itu, suami mangsa yang juga pemandu kenderaan, Mohd Nazri Hamid, 44 tahun ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Panchor berkata dia redha atas apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu adalah ketentuan Allah SWT.

"Sebelum kita mulakan perjalanan, kami seperti kebiasaan maksudnya tiadalah tanda-tanda atau perubahan ketara yang saya perasan, sama ada pada orang rumah saya atau anak-anak," kata Nazri kepada pemberita.

Dua lagi anak pasangan berkenaan terselamat iaitu anak kedua dan ketiga Ahmad Awaz, 12 tahun dan Ahdan Fasihah, 11 tahun kerana menaiki kereta abang kepada Allahyarham Raihan Mohamad.

Semalam, perjalanan keluarga terbabit untuk menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap yang pemandunya dipercayai di bawah pengaruh dadah pada pukul 2 petang.

Pemandu kenderaan pikap itu dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

Siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati pemandu pikap berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.

Siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

 

Media Baharu