KUALA LUMPUR, 7 Mei- Jenayah siber dan penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) menjadi cabaran baharu kepada masyarakat dan negara.
Peningkatan penggunaan peranti digital, kaedah 'encryption' dan penyamaran maya menimbulkan cabaran teknikal yang kompleks kepada agensi penguatkuasaan undang-undang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menekankan peningkatan kemahiran anggota penguatkuasaan adalah penting bagi menangani cabaran ini.
"PDRM terlibat secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, organisasi sektor swasta dan ahli akademik.
"Kerjasama ini memudahkan perkongsian maklumat, pembinaan kapasiti dan usaha yang diselaraskan dalam memerangi jenayah siber,"katanya.
Dalam masa yang sama, katanya PDRM dengan Kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan program strategik peningkatan keupayaan penyiasatan terhadap ancaman penyalahgunaan NPS.
Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan jangka panjang PDRM dalam pembangunan sumber manusia dan melahirkan pakar dalam bidang berkaitan.
Tambahnya, penyelidikan berterusan dapat meningkatkan kepakaran sedia ada institusi berkenaan bagi membantu PDRM memerangi ancaman jenayah dengan lebih berkesan dan cekap.