PUTRAJAYA, 7 Disember - Jenayah kewangan secara terancang boleh menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadilah berkata, ini kerana negara akan mengalami risiko besar akibat aktiviti jenayah penipuan kewangan dan scam (menipu) yang semakin meningkat dengan 37 peratus.
Jelasnya, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah dalam talian merekodkan peningkatan kepada 32, 366 kes.
Angka itu bagi tempoh Januari hingga November 2023 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu dari 23,608 kes.
“Ini melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.13 bilion, meningkat sebanyak 46 peratus berbanding tahun 2022.
"Oleh itu, langkah-langkah proaktif bagi melindungi maklumat peribadi dan data sensitif negara perlu diutamakan bagi memastikan integriti sistem digital dan keselamatan negara kekal utuh," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini hari ini.
Katanya, pihak kerajaan, organisasi swasta, sektor perniagaan dan juga individu perlu menjalinkan kerjasama dalam membangunkan strategi komprehensif bagi menangani ancaman siber yang semakin berkembang.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar penjawat awam melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan siber khusunya tentang isu penipuan kewangan, modus operandi dan tips pencegahan pelbagai jenis scam.
"Melalui pengisian seminar dan forum jelajah anti-scam yang diadakan pada hari ini, saya percaya banyak informasi dan amalan terbaik keselamatan siber dapat dipelajari dan diambil perhatian oleh penjawat awam agar tidak mudah terpedaya lalu terjerumus sebagai mangsa penipuan kewangan ini," katanya.