fb fb fb fb fb

Jemaah menteri junjung kasih titah Sultan Pahang, henti polemik 3R

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 12 Mac- Jemaah Menteri menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memberi peringatan agar semua pihak berhenti mempolemikkan isu 3R (agama, raja dan kaum) yang dilihat membuka ruang perbalahan serta menyebabkan perpecahan.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan hal sama, selain mengarahkan badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang mencetuskan isu perkauman.

"Baru-baru ini, Perdana Menteri juga telah memberikan satu peringatan tegas dengan mengarahkan agar semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan untuk mengambil tindakan cepat, berkesan dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkawaman atau agama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Dalam pada itu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut memberikan amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan melalui isu sensitif berkaitan 3R.

Terdahulu, Sultan Pahang menyeru semua pemimpin khususnya pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan menyatukan rakyat dan bukannya mencetus api membakar hubungan harmoni yang sekian lama terjalin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI