Jelajah Khas Borneo perkasa belia luar bandar

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol dalam sesi libat urus bersama pemegang taruh Belia dan Sukan Labuan / Foto RTM

LABUAN, 28 Februari – Inisiatif Jelajah Khas Borneo Kementerian Belia dan Sukan (KBS), akan memperkasakan pembangunan belia dan sukan terutama di kawasan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jelajah Khas Borneo KBS fokus memperkasakan pembangunan belia dan sukan di kawasan luar bandar.
  • Timbalan Menteri Mordi Bimol memimpin pasukan untuk turun jelajah Sabah, Sarawak dan Labuan.
  • Misi jelajah untuk memahami isu akar umbi dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan.
  • KBS akan jalin kerjasama strategik dengan kementerian, jabatan dan agensi lain bagi manfaat komuniti setempat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, inisiatif itu bertujuan menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada golongan sasar secara terus dalam usaha mengurangkan kerenah birokrasi.

Ini menerusi hasrat menyantuni segenap masyarakat terutama pemegang taruh belia dan sukan.

“Saya sendiri akan mengetuai pasukan KBS itu untuk turun menjelajah Sabah, Sarawak dan Labuan. Menerusi siri jelajah ini, KBS dapat memahami dengan lebih dekat tentang isu dan masalah yang dihadapi dalam pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap dalam sesi libat urus bersama pemegang taruh Belia dan Sukan Labuan di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin.

Beliau berkata maklumat yang diperoleh boleh dijadikan panduan dalam merangka dan merancang dasar serta program yang bersesuaian kepada golongan berkenaan.

Selain itu, katanya KBS juga akan menjalinkan kerjasama strategik bersama kementerian, jabatan dan agensi lain bagi memastikan usaha ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada komuniti setempat.