BANTING, 25 Februari - Mendekati pendengar khususnya masyarakat orang asli antara matlamat program Jelajah Asyik 2024 anjuran Asyikfm.
Pengarah Bahagian Program Radio, Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop berkata program khas bersempena 65 tahun AsyikFM itu buat julung kalinya diadakan dengan konsep turun padang bersama pendengar.
"Kita membuat sambutan di Bukit Tadom ini supaya kita dapat mempelbagaikan kebudayaan dan dapat memperkenalkan seni budaya yang terdapat di kalangan atau perkampungan ataupun di kawasan Orang Asli ini.
"AsyikFM akan menjelajah atau akan pergi dari lokasi ke lokasi untuk memperkenalkan AsyikFM itu sendiri supaya lebih dikenali ramai dan juga mendapat tempat di setiap golongan atau suku kaum," katanya.
Tadom Hill Resorts menjadi pilihan program kerana dilihat bertepatan dengan konsep program kali ini dengan kerjasama Tok Batin Kampung Orang Asli dan Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).