PADANG BESAR, 14 Februari- Jejantas dan laluan keselamatan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen KTMB Padang Besar dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang ditutup sejak 1 September 2020 kini dibuka berkuat kuasa hari ini.
Laluan berkenaan sebelum ini ditutup atas faktor keselamatan berikutan pencerobohan warga asing yang masuk ke negara ini menerusi stesen KTMB berkenaan.
Menurut Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri, Izizam Ibrahim, pembinaan laluan berpagar dengan kos RM250,000 berkenaan dilaksanakan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) siap pada November 2023 lalu.
Langkah pembinaan laluan baharu ini bagi memberikan kemudahan kepada pengguna KTMB dan memastikan keselamatan terjamin di kawasan sempadan.
Laluan pejalan kaki berbumbung berkenaan turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan dan pemantauan oleh pihak keselamatan.
"Selama ini banyak yang merungut terutama pelancong dari luar dan dalam negara lah. Tapi saya harap, selepas ini pelbagai fasiliti di Padang Besar akan ditambahbaik khususnya kawasan tumpuan pelancong."
"Jejantas dan laluan pejalan kaki berbumbung ini salah satu yang diberi keutamaan dan selepas ini tiada lagi isu berkaitan prebet sapu yang mengambil kesempatan ke atas pelancong yang datang Padang Besar dimana pembukaannya lebih menjamin keselamatan semua", katanya kepada media ketika meninjau pembukaan Jejantas dan Laluan Keselamatan Pejalan Kaki di Padang Besar.
Laluan berkenaan dibuka mulai 6.00 pagi sehingga 10.00 malam setiap hari yang mampu memendekkan perjalanan merentas stesen KTMB dari lima kilometer sebelum ini kepada kurang satu kilometer untuk ke ICQS dan Arked Niaga Padang Besar.