fb fb fb fb fb

JBPM temukan 39 mangsa gempa bumi Turkiye

 (Foto FB Korporat JBPM)

GAZIANTEP, 14 Februari- Seramai 39 mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi lapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak hari pertama pasukan itu melaporkan diri di Nurdagi dekat sini, minggu lalu.

Menurut kenyataan di Facebook Korporat JBPM, dalam operasi itu, lima mangsa ditemukan masih hidup, manakala 34 lagi telah meninggal dunia, setakat laporan pukul 8.00 pagi tadi.

Seramai 143 orang pegawai dari Malaysia menyertai Ops SAR Turkiye kali ini termasuk pengamal media.

Pasukan MAS 01 dianggotai oleh enam pegawai JBPM dan 64 orang pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), manakala pasukan MAS 10 pula dianggotai oleh 30 pegawai JBPM, 20 pegawai SMART, 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan tiga pengamal media.

Dua ekor anjing pengesan (K9) JBPM, Denti dan Frankie turut menyertai pasukan penyelamat Malaysia di Turkiye.

Kesemua pegawai ditempatkan di kem pasukan penyelamat negara di Stadium Nurdagi, di sini.

"Cuaca berada dalam keadaan baik dan cerah dengan suhu 4 darjah celcius. Kesemua 36 pegawai JBPM berada dalam keadaan sihat dan baik," katanya.

 (Foto FB Korporat JBPM)

Media Baharu