JBPM Melaka perhebat rondaan musim perayaan

PPjB Mohd Zaidi Ma’at

KRUBONG, 12 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka akan melaksanakan rondaan di sepanjang jalan utama dan lebuh raya Melaka sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Melaka akan menjalankan rondaan sepanjang jalan utama dan lebuh raya semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
  • Rondaan dijalankan seminggu sebelum hingga seminggu selepas musim perayaan, fokus pada kawasan tumpuan dan risiko tinggi.
  • Keutamaan ditempatkan di R&R untuk respon cepat apabila berlaku kecemasan atau kemalangan.
  • Operasi pemeriksaan bahaya kebakaran di premis dilaksanakan; hanya 20% anggota dibenarkan cuti semasa musim perayaan.

Pengarah JBPM Melaka, PPjB Mohd Zaidi Ma’at berkata, pelaksanaan itu akan bermula seminggu sebelum dan berakhir seminggu selepas musim perayaan.

Rondaan akan tertumpu di kawasan tumpuan dan lokasi berisiko tinggi, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Tujuannya supaya sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan, anggota yang sedang menjalankan rondaan dapat tiba dengan lebih cepat berbanding jika hanya berada di balai, sekali gus mempercepatkan usaha menyelamatkan mangsa.

“Selain itu, kita turut melaksanakan operasi pemeriksaan bahaya kebakaran di premis-premis. Ini kerana orang ramai kini memberi tumpuan untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina dan dijangka mengunjungi pasar raya serta pusat beli-belah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan dan Ops Siaga Raya 2026 Sempena Karnival Demi Paya Rumput yang dirasmikan dirasmikan oleh Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin di PPR Krubong di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa 20 peratus sahaja anggota daripada hampir 500 anggota JBPM Melaka dibenarkan cuti pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.