BINTULU, 24 Disember -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan 11 mangsa banjir kilat, termasuk warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU), dalam dua operasi pemindahan berasingan di sekitar Kidurong dan Sungai Plan, malam tadi.
Dalam kejadian pertama, Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 8.54 malam melibatkan mangsa yang terkandas di RPR Sungai Plan, Lorong Permata 15.
Pasukan bomba bertindak pantas dan berjaya memindahkan tiga warga emas OKU ke kawasan selamat.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu menjalankan operasi kedua di rumah setinggan Seberkas, Kidurong selepas menerima panggilan pada pukul 10.32 malam.
Dengan menggunakan kenderaan utiliti dan bot aluminium, pasukan bomba berjaya menyelamatkan lapan mangsa, terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak.
Kesemua mangsa memilih untuk menumpang di rumah saudara terdekat sementara menunggu keadaan banjir surut.
JBPM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika hujan lebat berterusan, dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan.