CHERAS, 12 Februari- Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran yang memusnahkan lima kediaman di Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, malam tadi.
Tinjauan wartawan RTM turut dimaklumkan sepasukan dua pegawai dan enam anggota penyiasat kebakaran bomba hadir di lokasi sekitar pukul 11.00 pagi bersama dua anjing pengesan (K9), Jim dan Woody.
Selain itu, tiga unit dron turut digunakan untuk membantu siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian, sebelum ke lokasi kebakaran di tingkat 17.
Pihak Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan mengesahkan lima unit yang terbakar musnah antara 85 hingga 97 peratus manakala satu unit bersebelahan berjaya dikawal.
Sehingga kini, pihak bomba masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian.
Sementara itu, seorang pemilik unit kediaman di Flat Sri Sabah yang musnah dalam kebakaran, Rita Rukiasami mendakwa, terdengar letupan kecil dari aras atas flat berkenaan.
"Jiran saya di sebelah kanan dan kiri rumah sudah hubungi bomba. Pada ketika itu, kami bergegas ambil barang di dalam rumah, tiba-tiba nampak asap hitam yang tebal. Kemudian, ada dengar bunyi letupan kecil."
"Saya terus bergegas bawa keluar anak dan mak saya ke bawah. Api sangat marak dan asap hitam tebal sudah mula menebal," kata Rukiasami kepada pemberita, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.19 malam semalam, seorang wanita warga berusia 62 tahun turut mengalami sesak nafas, namun dilaporkan stabil.
Seramai 16 penghuni daripada lima rumah terkesan dalam kebakaran itu dan kini ditempatkan di PPS di SK Seri Cheras.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.