fb fb fb fb fb

JAWI Labuan cekup 9 individu tidak puasa, merokok di tempat awam

FOTO JAWI LABUAN

LABUAN, 17 Mac– Sembilan individu Muslim dikesan merokok dan makan di tempat awam ketika Ramadan dalam Ops Rahmah Ramadan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Ketua Operasi Penguatkuasaan dan Pencegahan JAWI Labuan, Penolong Pengarah Kanan Ustaz Sazali Ridthouddin Shahbudin, memaklumkan jumlah tersebut meningkat berbanding tujuh individu tahun lalu.

Beliau berkata, 11 anggota penguat kuasa terlibat dalam pemantauan di premis makanan, pantai, taman rekreasi, pasar raya, dan kawasan industri bagi memastikan pematuhan masyarakat terhadap bulan Ramadan.

"Kesemua individu terbabit diarahkan hadir ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan akan dibawa ke Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk tindakan lanjut.

"Dalam usaha meningkatkan kesedaran, JAWI Labuan turut mengadakan aktiviti penerangan dan kempen pencegahan bagi mendidik masyarakat Islam agar menghormati perintah Allah SWT sepanjang Ramadan.

"Mereka yang didapati ponteng puasa atau peniaga yang bersubahat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 43 Akta 559," katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pelanggaran ini boleh menghubungi hotline Penguatkuasaan JAWI Labuan di talian 087-415311.

 

1703 JAWI LABUAN OPS
FOTO JAWI LABUAN

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE