KUALA LUMPUR, 26 Februari- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan pekeliling atau garis panduan berkenaan langkah-langkah keselamatan yang perlu dilaksanakan pihak masjid dan surau dalam masa terdekat.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata draf pekeliling berkenaan kini sudah disiapkan dan dalam proses penelitian bagi menghasilkan sebuah garis panduan yang lebih baik bagi kegunaan masa akan datang.
"Dalam isu ni sebenarnya secara umumnya masjid memang masing-masing mengambil inisiatif dalam isu-isu keselamatan bagi masjid, yang ada kemampuan mereka memang menyediakan kawalan keselamatan lantikan masjid.
"Dalam masa yang sama juga sebenarnya kita sedang menyediakan satu pekeliling untuk semua masjid, apakah langkah keselamatan yang perlu mereka laksanakan sesuai dengan kemampuan masjid, dengan kewangan masjid.
"... dan mungkin juga kita akan minta kerjasama pihak polis juga untuk membuat rondaan berkala mengikut kesesuaian sebab sesetengah tempat ini ada yang kawasan-kawasan hitam. Itu memang memerlukan sokongan daripada polis untuk memantau isu-isu yang berkaitan dengan jenayah dan sebagainya", katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Persidangan Pengurusan Masjid dan Surau di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ini susulan insiden yang tular di sebuah masjid di Selangor minggu lalu, seorang lelaki mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Selangor.
Beliau berharap dengan adanya garis panduan tersebut, masjid-masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dapat mencegah dan mengelak insiden yang sama berulang.