fb fb fb fb fb

JAWI capai usia lima dekad, pelbagai program dianjurkan tahun ini

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mencapai usia genap 50 tahun pada 1 Februari 2024, dan memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan iaitu matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.

JAWI menerusi  kenyataan menyatakan bahawa lebih 28 program istimewa telah dirancang sepanjang tahun ini bersempena sambutan Jubli Emas JAWI antaranya Wilayah Persekutuan Berselawat, Forum Perdana Ehwal Islam, Pelancaran Surau Bergerak, Majlis Akad Nikah Rahmah dan banyak lagi.

"Sejak awal penubuhan, JAWI terus berkembang seiring kemaslahatan umat Islam dengan pewujudan dua cawangan baharu iaitu cawangan Labuan pada April 1984 manakala cawangan Putrajaya pada Ogos 2001."

"Selaras dengan perubahan dan hala tuju kepemimpinan negara, JAWI telah memperluaskan peranannya sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui tujuh teras strategik," kata kenyataan itu.

Selain itu, Wilayah Persekutuan Berselawat merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan tersebut yang akan diadakan pada 31 Januari 2024 di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan dimana sesi tausiyahnya akan disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin.

Acara berikutnya disusuli dengan Siaran Langsung Forum Perdana Ehwal Islam pada 1 Februari 2024 yang akan menampilkan pendakwah terkenal tanah air seperti Profesor Madya Datuk Dr. Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Imam Muda Asyraf.

"Selain azam dan tekad untuk memperluas fungsi yang selaras dengan dinamika masyarakat, JAWI juga turut memberikan perhatian terhadap proses pengukuhan syariah dan pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM