fb fb fb fb fb

Jawatankuasa khas ditubuh, tangani penurunan paras air Empangan Kolam Bukit Merah

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 3 Julai - Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengatasi masalah penurunan paras air di Empangan Kolam Bukit Merah, Bagan Serai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jawatankuasa khas tersebut akan dianggotai oleh wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, perbincangan dari sudut teknikal perlu dilakukan bersama pihak berkaitan bagi menangani masalah tersebut.

"Kerana untuk jangka masa panjang kita akan memperoleh peruntukan daripada kerajaan pusat bagi memindahkan air dari Sungai Perak ke empangan tersebut.

"Tetapi untuk jangka masa pendek saya perlu terlebih dahulu berbincang dengan pihak-pihak yang terlibat terutama jabatan teknikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Siri 5 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Tambah Saarani, cadangan yang dikemukakan pihak tertentu bagi mendalamkan dasar empangan itu dilihat tidak bersesuaian kerana ia tidak mempunyai sumber mata air yang boleh meningkatkan paras air di empangan tersebut.

Terdahulu, empangan yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping semakin kering berpunca daripada cuaca panas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN