Jawatankuasa khas ditubuh siasat dakwaan libat Ketua Pesuruhjaya SPRM

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Februari – Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM, diketuai Ketua Setiausaha Negara.
  • Siasatan akan dilaporkan semula kepada Jemaah Menteri untuk tindakan susulan demi ketelusan dan integriti.
  • Tan Sri Azam Baki menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung dakwaan pemilikan saham.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara akan menyiasat dakwaan perkara-perkara yang telah dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini adalah usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti proses siasatan,” katanya.

Datuk Fahmi berkata demikian pada sidang media mingguan di Putrajaya.

Terdahulu Tan Sri Azam Baki menyatakan komitmen dan kesediaan untuk disiasat jawatankuasa bebas berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.