fb fb fb fb fb

JAS Kedah siasat kilang getah keluarkan bau busuk

FOTO JAS KEDAH

ALOR SETAR, 14 Mac- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menjalankan siasatan ke atas sebuat kilang getah mentah yang disyaki mengeluarkan bau busuk di sekitar Bukit Banyan dan Bintang Maya Residence dekat Sungai Petani.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab menerusi satu kenyataan memaklumkan, siasatan dibuat susulan aduan orang awam berkaitan bau kurang menyenangkan sehingga mengganggu kehidupan penduduk terutama pada lewat malam hingga awal pagi.

Katanya, siasatan yang dijalankan semalam bermula pukul 11 malam hingga 4 pagi bagi mengesan masalah bau busuk di kawasan tersebut dan mendapati ia berpunca daripada kilang getah asli yang beroperasi selama 24 jam.

“Hasil pemantauan dan siasatan mendapati bau busuk berpunca daripada kilang getah asli mentah bagi menghasilkan produk Standard Malaysia Rubber, SMR10 dan SMR 20.

“Siasatan terperinci ke atas kilang dilakukan bagi memastikan semua alat kawalan pencemaran udara berada pada keadaan optimum dengan kehadiran orang yang berwibawa (OYB) pihak kilang.

Jelas Sharifah Zakiah, JAS mengeluarkan notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk pihak kilang menambah baik alat kawalan pencemaran udara dan meningkatkan pematuhan kepada akta tersebut.

“Saya menyeru masyarakat setempat dan orang awam untuk terus bekerjasama dengan pihak JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan menerusi http://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE