(Fahmi Fadzil)
KUALA LANGAT, 7 Ogos- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meminta Jabatan Penerangan (JAPEN) membuat kajian mengenai kesesuaian dan bentuk pusat media yang dibuka oleh jabatan itu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) pada 12 Ogos ini.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, usaha tersebut bagi memenuhi keperluan semasa pengamal media.
Ini kerana beliau melihat realitinya golongan pengamal media memilih berada di lapangan untuk mendapatkan bahan berita semasa pilihan raya berlangsung.
"Dengan realiti para pengamal media hari ini yang mungkin dalam konteks ramai yang berada di lapangan. Jadi sama ada kita perlu lebih banyak (pusat media) atau kita perlu hampir keseluruhan secara virtual, (ia) selepas pilihan raya saya minta JAPEN untuk teliti," katanya di sini.
Selain itu, JAPEN turut mewujudkan Pusat Media Maya melalui platform WhatsApp secara berasingan untuk enam negeri yang terlibat iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan.
Terdahulu, beliau melakukan Ziarah Kasih bersama calon Barisan Nasional (BN) iaitu Mohd. Al-Hafizi Abu Bakar bagi DUN Sijangkang ke sebuah rumah dihuni oleh seorang warga emas, Molkan Zainuddin, 79, yang menghidap strok.
(Fahmi Fadzil (duduk kanan) pada Ziarah Kasih ke sebuah rumah dihuni seorang
warga emas (kiri duduk) yang menghidap strok)