fb fb fb fb fb

JANS pastikan bekalan air mencukupi bagi tempoh 50 tahun

Gambar hiasan/Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 10 Julai - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) komited memastikan bekalan air mencukupi bagi tempoh 30 hingga 50 tahun seterusnya.

Ia dilaksana menerusi beberapa Projek Pembangunan Bekalan Air Jangka Panjang dan berimpak tinggi.

Antaranya, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Beaufort, LRA Bunsit Keningau, LRA Baru Semporna, LRA Dewata Lahad Datu dan menaiktaraf kapasiti LRA Limbawang, Beaufort.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Insinyur Shahelmey Yahya, JANS juga merancang menambah kapasiti bekalan air di daerah-daerah lain mengikut Zon Pantai Barat, Pantai Timur dan Pedalaman Sabah yang disenarai dalam Program Peruntukan Persekutuan untuk dilaksana dalam RMKe-13.

"Pada masa ini, JANS mempunyai sebanyak 89 LRA di seluruh negeri dengan kapasiti reka bentuk sebanyak 1,534 juta liter sehari (JLH) dengan pengeluaran semasa sebanyak 1,420 JLH.

"Selain itu, JANS juga menyelia dan mengoperasikan aset-aset air sebanyak tujuh empangan air, 1,126 rumah pam air mentah, air terawat termasuk pam penggalak, 161 set janakuasa dan 1,150 tangki simpanan air di seluruh daerah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) mengenai sasaran yang diletakkan oleh kerajaan supaya Sabah tidak lagi mengalami masalah air pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Shahelmey berkata, melalui Program Pembiayaan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, JANS turut melaksanakan beberapa Projek Pembangunan Bekalan Air Jangka Panjang dan berimpak tinggi.

GRACE AISYAH KEDAYAN