JANM jayakan projek Kampung Angkat MADANI di Batu Pahat

FOTO JABATAN AKAUNTAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, berjaya disiapkan.

Menurut Akauntan Negara Malaysia (ANM), Datuk Zainani Jusoh, projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap peruntukan awam memberi pulangan sosial yang bermakna kepada rakyat.

“Projek ini membuktikan bahawa pembangunan yang sebenar bermula daripada rakyat, bersama rakyat dan untuk rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya menerusi kenyataan.

Antara projek disiapkan termasuk projek menaik taraf pagar tanah perkuburan serta projek menaik taraf balai Islam dan tandas di Kawasan Masjid Jamek Hj. Arshad.

Ini termasuk projek menaik taraf kemudahan saluran air paip untuk 19 rumah, perolehan van jenazah dan perolehan peralatan bagi kegunaan komuniti dan masyarakat di Kampung Minyak Beku.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama strategik semua agensi kerajaan yang telah menunjukkan dedikasi luar biasa serta komitmen tidak berbelah bahagi dalam memantau dan memastikan projek berkenaan disiapkan dengan sempurna.

Terdahulu, JANM telah mengadakan Majlis Serah Siap Projek KAM di Kampung Minyak Beku hari ini.

Kampung Minyak Beku telah dipilih dan diluluskan sebagai Kampung Angkat MADANI JANM oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada Mac 2025.

Majlis tersebut disempurnakan Datuk Zainani dan turut dihadiri Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, bekas ANM, Datuk Nor Yati Ahmad, Ketua Kampung Minyak Beku, Mohd Hayat Rahmat, serta pengurusan tertinggi dan pegawai kanan JANM.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan