KUALA LUMPUR, 7 Februari - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak peningkatan jumlah kenderaan, iaitu 2.1 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya itu sepanjang sambutan Tahun Baru Cina (TBC).
Sehubungan itu, empat strategi khusus dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada keselesaan pengguna, pengurusan trafik, pengagihan trafik dan komunikasi yang efisien.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi dalam satu kenyataan berkata pihaknya menempatkan seramai 450 anggota PLUSRonda di lebuh raya bagi membuat rondan dan memberi bantuan kepada pengguna.
"Seramai 1,500 kakitangan di plaza tol akan ditempatkan bertujuan memastikan kesemua 1,075 lorong beroperasi sepenuhnya.
"Seramai 2,100 kakitangan penyelenggaraan pula akan ditugaskan untuk memastikan kebersihan di semua kawasanHentian Rehat & Rawat (R&R) dan hentian sebelah terjaga demi keselesaan pengguna, " katanya.
Turut disediakan adalah tandas-tandas tambahan di 21 lokasi terpilih serta penyediaan 79 kawasan meletak kenderaan tambahan di beberapa lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya.
PLUS turut memaklumkan tiada penutupan lorong akan dilaksanakan di antara 5 Februari hingga 16 Februari depan bersempena dengan musim perayaan kali ini.