BANGI, 7 Mac- Semua pihak termasuk parti-parti politik di negara ini diingatkan untuk tidak menunggang isu agama dan kaum demi kepentingan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbuatan itu hanya akan memusnahkan keharmonian dan perpaduan kaum.
Tegasnya, isu agama tidak boleh dijadikan senjata politik berikutan tindakan itu sekadar membakar diri sendiri.
"Jadi kita nak bagi pandangan dan nasihat kepada rakyat, apa pun masalah terutama kaum dan agama, kita ikut jalur, peraturan dan hukum.
"Siapa yang melanggar, dia perlu ikut jalur hukum, terutama pimpinan mana-mana parti atau pimpinan masyarakat, jangan tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi kerana kalau kita diteruskan, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat", katanya.
Menurutnya, kerajaan sedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina agama.
"Sikap kerajaan tentunya tegas, penghinaan, merendahkan darjat manusia, agama, tidak dibolehkan. Apa lagi dalam negara kita yang pelbagai kaum dan agama. Islam agama Persekutuan, kita martabatkan, tetapi kita jaga keharmonian", katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, Bangi.