fb fb fb fb fb

Jangan politikkan masalah air di Pulau Pinang - Anwar

Foto BERNAMA

SEBERANG PERAI, 29 Jun- Masalah air di Pulau Pinang tidak harus dijadikan bahan politik memandangkan ia sudah di peringkat penyelesaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan telah dilaksanakan dengan beberapa pihak berkepentingan bagi memastikan isu tersebut diselesaikan dengan baik.

Anwar turut memberi jaminan akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di negeri-negeri berdepan isu tersebut termasuk yang ditadbir pembangkang.

Katanya, bantuan akan disalur tanpa mengira parti politik demi kesejahteraan rakyat.

"Ini bukan soal parti politik..ini soal rakyat..yang ini kita buat.. saya boleh tanya yang dulu saya tak buat. Saya boleh tanya. Tapi tak apa, masa kita, kita buat.

"Jadi saya bincang, bila? tahun lalu.. Kita bincang, kita bawa ke Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) dan juga menteri besar (Saarani Mohamad)..kita kata beginilah, kita tolong bangunkan Sungai Perak dan buat kajian air cukup.

"Air Sungai Perak bawah kerajaan Perak dapat air cukup.. daripada situ bawa terus ke Seberang Perai. Masuk Sungai Acheh, Jawi, Sungai Bakap, Batu Kawan.

"Bila kita luluskan bulan dua, tiga bulan datanglah berapa belanja? RM4 bilion..untuk siapa? untuk Perak dan Pulau Pinang," kata Anwar pada Majlis Perasmian Karnival TEKUN MADANI Pulau Pinang di sini.

Menyentuh mengenai ketidakhadiran ke DUN Sungai Bakap, Anwar berkata beliau memberi kepercayaaan sepenuhnya kepada jentera-jentera Kerajaan Perpaduan bagi membantu calon Pakatan Harapan berkempen bagi kawasan tersebut.

"Saya tidak pergi Sungai Bakap sebab saya fikir saya terus kerja.

"Petang ini, kita jumpa Tan Sri Khalid dengan Jawatankuasa pemandu dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk bincang soal pembangunan projek-projek bumiputera Pulau Pinang. Jadi saya minta kawan-kawan faham," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM