
GEORGE TOWN, 21 Februari – Jangan kaitkan kematian anggota tentera, Truper K. Indiran, 22 tahun dengan unsur buli atau penderaan.
- Ibu mendiang menegaskan kematian Indiran tidak berkaitan buli atau penderaan berdasarkan hasil bedah siasat awal.
- Beliau menolak dakwaan Indiran dipukul atau dicederakan dan menegaskan tiada kecederaan fizikal ditemui.
- Usha meminta orang ramai berhenti membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan lanjut pihak berkuasa.
Itu tegas ibu mendiang, S. Usha, 52 tahun.
Menurut beliau, hasil bedah siasat awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh anaknya dan menolak dakwaan kononnya Indiran dipukul atau didera.
“Jangan cemarkan nama baik ATM. Indiran tak dibuli, tak dipukul, tak dicederakan.
“Mula-mula memang saya marah.Tapi bila bedah siasat memang tiada dan tubuh anak saya sempurna, fizikal dia elok,” katanya.
Indiran ditemukan tidak sedarkan diri ketika mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Rabu lalu.
Dalam pada itu, Usha meminta agar orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mencemarkan imej ATM.
Sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.