PUTRAJAYA, 24 Februari- Kejatuhan nilai ringgit bukan alat 'sepak terajang' politik sehingga tidak berlandaskan fakta yang betul, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini kerana Malaysia mencatatkan pelaburan tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu dengan penurunan kadar inflasi dan pengangguran.
Tahun lalu juga, Malaysia berjaya pertahankan pertumbuhan ekonomi walaupun berdepan kelembapan ekonomi dunia.
"Walaupun ada masalah ringgit tetapi pelaburan tahun lalu paling tinggi dalam sejarah. Ini kadang-kadang orang lupa, bila jadi isu politik, dia nak hentam saja.
"Kalau dunia (negara luar) tidak ada keyakinan pelaburan (Malaysia) tentunya pada tahap yang perlahan.
"Dunia dan pelabur ada keyakinan, maka kita catat pelaburan tertinggi (tahun lepas) dalam sejarah Malaysia, katanya ketika berucap merasmikan Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) 2024 di Kompleks Nasyrul Quran di sini.
Sehubungan itu, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai senjata politik yang tidak bersandarkan fakta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi perkara itu termasuk dengan memperkenalkan kerangka Malaysia MADANI yang bertujuan memperkasa ekonomi negara.
"Kita bimbang kalau bila ringgit jatuh, kemudian inflasi naik, pertumbuhan terbantut, pelaburan tak datang. Itu kita bimbang. Tetapi sekarang ini, semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul.
"Sementara kita cari jalan untuk perbaiki, janganlah jadikan ini sebagai sepak terajang politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta," katanya.
Tambah Anwar, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dapat ditangani memandangkan perdagangan Malaysia dengan China, Indonesia dan Thailand menggunakan nilai mata wang tempatan.
"Perdagangan Malaysia yang terbesar ialah dengan China iaitu 25 peratus dagangan menggunakan ringgit dan mata wang China (renminbi), 18 peratus dengan Indonesia menggunakan ringgit dan rupiah, 20 peratus dengan Thailand menggunakan ringgit dan baht, maka isu dolar tidak ada kesan," katanya.