fb fb fb fb fb

Jangan jadi mangsa penipuan tawar khidmat “cash-out” kredit eMADANI

Grafik/Sebenarnya.My

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Kredit eMADANI tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan ‘peer-topeer’ atau penebusan tunai. Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan ‘peer-topeer’ kredit Program eMADANI (e-Madani) oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan mengingatkan perkara itu bagi mengelak penerima manfaat eMADANI daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’; sekali gus hilang kredit eMADANI mereka.

“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai. Pihak Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” menurut kenyataan itu.

Pendaftaran Program eMADANI dibuka mulai hari ini sehingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40.

Program eMADANI diluncurkan bertujuan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai. eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang telah diumumkan bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100.

Inisiatif itu boleh digunakan bagi pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih. Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback), diskaun, mata ganjaran (reward points) dan ‘coins’. 

Maklumat lanjut berkaitan boleh layari https://manfaat.mof.gov.my/eMADANI.

MAT YUNUS BIN SABRI