fb fb fb fb fb

Jangan jadi mangsa 'bedal haji' - Menteri Agama

MEKAH, 29 Jun - Rakyat Malaysia beragama Islam diingatkan sekali lagi agar menyiasat terlebih dahulu tawaran perkhidmatan Badal Haji oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im mokhtar, berkata ini berikutan kes sedemikian banyak kali berlaku setiap kali musim haji.

Tambah Dr Mohd Nai'm, perkhidmatan tersebut boleh dipercayai sekiranya dikendalikan oleh Pengelola Jemaah Haji yang dilesenkan oleh TH.

"Jika seseorang itu mahu mengambil perkhidmatan badal haji yang bukan ditawarkan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH, dia perlu menyiasat betul-betul supaya tidak tertipu. Kita tidak mahu badal haji menjadi 'bedal haji'," katanya kepada media di sini hari ini ketika ditanya mengenai isu penipuan badal haji baru-baru ini yang tular di media sosial.

(Rombongan jemaah haji di Tanah Suci/FOTO FB Dr Na'im)

Beliau tidak menafikan ramai menjadi mangsa terjerat penipuan tawaran badal haji meskipun kerap diberi peringatan.

"Ini kerana rakyat Malaysia secara umum terkenal dengan 'hati lembut' dan mudah mempercayai, terutama apabila membabitkan urusan ibadah.

Katanya, rakyat Malaysia yang berhasrat mendapatkan badal haji boleh merujuk senarai PJH dalam laman sesawang TH yang telah dilesenkan selepas memenuhi syarat ketat.

"Jadi kemungkinan untuk berlakunya penipuan adalah tipis," katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa yang telah ditipu supaya membuat laporan polis, selain mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Media Baharu