fb fb fb fb fb

Jangan eksploitasi isu Blackrock - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA, 21 Jun- Jangan eksploitasi isu Blackrock demi kepentingan politik, demikian yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan Malaysia secara konsisten tegas dengan pendirian berkaitan isu Palestin, temasuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel.

Bagaimanapun tindakan sama tidak boleh diambil bagi syarikat-syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di negara lain buat masa ini bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas.

"Saya percaya sebahagian daripada yang menentang ada hujahnya dan ikhlas sebahagiannya. Jangan guna isu ini, kerana ia seharusnya menyatukan kita.

"Kritik saya tidak ada masalah tetapi kalau mahu jadikan isu ini untuk menunjukkan mereka lebih heroik, padahal siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini sejak awal dan diteruskan oleh semua kerajaan, pemimpin termasuk bekas-bekas menteri yang bising sekarang," katanya selepas menunaikan solat jumaat di masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, Selangor.

Berhubung isu kerusi enam ahli parlimen Bersatu yang telah terhenti keahlian serta-merta, Perdana Menteri menjelaskan perkara itu terletak sepenuhnya di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Okey, soal enam kerusi BERSATU itu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat. Biar speaker putuskan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI