fb fb fb fb fb

Jangan cetus provokasi, penganjur perhimpunan aman perlu patuh peraturan ditetapkan

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Siti Nor Salawati Saad

ALOR SETAR, 24 Julai - Polis menasihatkan mana-mana individu atau kumpulan yang merancang untuk menganjurkan perhimpunan, di sini, Jumaat ini supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seandainya Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak dipatuhi.

Beliau berkata, tindakan tegas juga akan diambil kepada pihak yang sengaja menimbulkan sebarang provokasi.
 
"Penganjur perlu memberi pemberitahuan seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu berkait kehendak berhubung dengan pemberitahuan perhimpunan.
 
"Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah penganjur hendaklah memaklumkan kepada pihak polis dengan mengemukakan borang dalam Jadual Keempat Seksyen 10 yang turut menggariskan persetujuan pemunya dan penghuni tempat perhimpunan serta mematuhi garis panduan serta syarat yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan satu perhimpunan aman yang akan disertai kira-kira 100 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dijangka akan diadakan di daerah Kota Setar, Jumaat ini. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN