fb fb fb fb fb

Jambatan Bailey Kg Stulang Daeng siap, boleh guna dua tahun

Jambatan Bailey Kampung Stulang Daeng

PULAU GADONG, 21 November- Jambatan Bailey siap dipasang di Kampung Stulang Daeng, Melaka bagi menggantikan jambatan asal yang roboh pada 16 Oktober lalu.

Ia sedia digunakan oleh 5,000 penduduk sekitar kawasan tersebut.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jambatan itu boleh digunakan untuk tempoh dua tahun sementara menunggu pembinaan jambatan kekal baru yang masih di peringkat perbincangan. 

Pembinaan jambatan Bailey itu hasil kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Ia mengambil masa tiga hari untuk pembinaan bermula 14 November sehingga 16 November.

Buat masa ini hanya kenderaan ringan dengan had bebanan lima tan sahaja dibenarkan melalui jambatan tersebut.

"Dalam tempoh tiga hari mereka telah berjaya melengkapkan pemasangan ini, jadi kita ucapkan terima kasih pada JKR dan seluruh barisan jurutera yang memberikan kerjasama dalam pemasangan jambatan in.

"Jambatan sementara ini dalam tempoh dua tahun sahaja, kerajaan negeri juga akan memohon kepada kerajaan persekutuan supaya dapat diberikan lagi sebuah jambatan sebagai persiapan sekiranya kita akan menghadapi bencana pada masa akan datang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan jambatan Bailey di Kampung Stulang Daeng, Pulau Gadong.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri masih menunggu perincian dari pihak JKR untuk memohon peruntukan pembinaan jambatan baru.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE