
BAGAN DATUK, 7 Mac – Projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro’, di sini, berjaya disiapkan lebih awal dengan penjimatan kos kira-kira 800-ribu ringgit, sekali gus membantu melancarkan pergerakan trafik di kawasan berkenaan.
- Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Jambatan baharu menggantikan struktur lama yang uzur, mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
- Kemudahan manfaat kira-kira 7,000 penduduk sembilan kampung, menghubungkan laluan utama serta merancakkan sosioekonomi dan sektor pelancongan.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Projek tersebut menggantikan jambatan lama yang uzur dan sempit, sekali gus mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, pembinaan jambatan baharu berkenaan turut membantu menyelesaikan kesesakan trafik di Pekan Bagan Datuk,terutamanya pada hujung minggu apabila pelancong mengunjungi beberapa lokasi tarikan utama.
Projek yang diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menerusi Rolling Plan Ketiga, itu dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dengan Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana.
Pembinaan bermula pada 8 Ogos 2024 dan dijadual siap 5 Ogos 2026, namun berjaya disiapkan lebih awal pada 4 Mac lalu.
Kemudahan baharu itu memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk dari sembilan kampung sekitar, serta menghubungkan laluan terus ke Jalan Negeri A123, Jalan Persekutuan FT069, Jambatan Sultan Nazrin Shah FT312 dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Projek tersebut dijangka merancakkan pertumbuhan sosioekonomi setempat, memacu sektor pelancongan, dan menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, selari dengan agenda pembangunan desa dan wilayah negara.