SEREMBAN, 25 Ogos - Semangat patriotik tidak hanya dizahirkan menerusi bendera yang digantung, tetapi juga melalui penggunaan botol plastik terbuang.
Sebanyak 1,200 botol plastik telah digunakan untuk membina Jalur Gemilang gergasi berukuran 10 kaki tinggi dan 15 kaki lebar di Klana Resort, di sini.
Pemangku Pengurus Besar Klana Resort, Izwandy Nordin berkata idea itu tercetus kerana hotel merupakan salah satu penyumbang terbesar penggunaan botol plastik.
Usaha itu juga katanya menggalakkan semua kakitangan hotel untuk mengitar semula, sekali gus memelihara kelestarian alam sekitar.
"Sambutan bulan kemerdekaan ini bertujuan memupuk semangat kerjasama di kalangan semua staf yang terlibat tanpa mengira kaum dan agama. Ini juga memastikan kakitangan kami terus didedahkan dengan pentingnya mencapai kemerdekaan agar semangat patriotik dapat dipupuk antara satu sama lain," katanya kepada pemberita, di sini.
Izwandy turut menekankan bahawa semangat patriotik yang tinggi penting bagi memastikan setiap individu terus mempunyai perasaan cinta akan negara.
Katanya, langkah untuk meningkatkan semangat tersebut penting bagi melahirkan insan yang berjiwa waja dan bersemangat untuk mencintai negara.