fb fb fb fb fb

Jalan berkembar dua lorong pendekkan jarak dari Lapangan Terbang Bintulu 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo

BINTULU, 20 Disember - Status semasa projek pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Jepak, kini siap sebanyak 59 peratus.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata projek itu dijangka bermula tahun hadapan.

“Dengan siapnya IAC Jepak, kerajaan juga dalam perancangan membina jalan berkembar dua lorong bagi menghubungkan Lapangan Terbang Bintulu dan IAC sepanjang 40.2 kilometer.

"Dengan siapnya jalan berkembar itu nanti akan memendekkan perjalanan dari Bintulu serta kawasan berdekatan yang lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas lawatan kerja ke projek pembinaan dan penyiapan Jalan Pesisir Pantai Pakej 5 dan Jambatan Bintulu-Jepak di sini, semalam.

Tambahnya, ini sekali gus melancarkan pergerakan orang ramai yang hendak pergi balik dari pusat bandar atau lapangan terbang.

Beliau berkata jaringan jalan raya berkembar itu akan merancakkan lagi pembangunan di sekitar kawasan tersebut serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Katanya, projek jalan baharu yang menelan kos RM80 juta itu akan merancakkan pembangunan di Jepak termasuk laluan pesisir Bintulu – Kuala Tatau.

Sementara itu, perkembangan mengenai Jambatan Bintulu-Jepak yang sudah menjangkau 66.7 peratus pembinaan dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Pembinaan jambatan itu akan menjadi jambatan ikonik dan memiliki tarikan tersendiri yang dilengkapi lif menegak bagi memudahkan orang ramai yang ingin menyaksikan keindahan panorama dari atas jambatan berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN