fb fb fb fb fb

JAKIM usaha tingkat profesionalisme dan kebajikan guru KAFA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Disember-Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sedang berunding dengan agensi persekutuan bagi mencari kaedah terbaik untuk mempertingkat profesionalisme dan kebajikan guru, khususnya penyelia program Kelas Al Quran dan Fardhu Ain  (KAFA ).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata, penelitian dan perancangan juga dibuat dari semasa ke semasa untuk menambah bilangan guru KAFA sedia ada bagi menampung kekurangan tenaga pengajar serta menambahbaik pengajaran dan pembelajaran KAFA. .

Antaranya, meluluskan sebanyak 1,800 kuota guru pada tahun 2020, menjadikan jumlah guru KAFA meningkat daripada 33 ,200 kepada 35,000 orang. 

Pihak berkuasa agama negeri juga mengambil langkah proaktif melantik guru KAFA baharu untuk mengisi kekosongan.

"Sentiasa mengemaskini dan membuat unjuran terhadap keperluan pertambahan jawatan guru KAFA agar seimbang antara nisbah bilangan guru dan premis KAFA.

"Sejak 2021, JAKIM sentiasa membuat permohonan penambahan kuota guru KAFA untuk keperluan seluruh negara. Walau bagaimanapun, kelulusan sepenuhnya adalah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Kewangan Malaysia berdasarkan keupayaan kewangan semasa Kerajaan", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Na'im turut menjelaskan berkaitan pengagihan peruntukan untuk sekolah pondok, tahfiz, madrasah dan sekolah-sekolah agama negeri, dibuat berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pihak kerajan negeri untuk institusi pendidikan Islam di negeri masing-masing.

"Sepertimana yang kita sedia maklum, agihan kepada peruntukan RM150 juta tersebut, pihak madrasah ataupun sekolah-sekolah agama perlu  mengemukakan permohonan melalui Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mana permohonan tersebut akan diserahkan kepada bahagian pendidikan JAKIM untuk dinilaikan dan seterusnya diagihkan.

"Jadi, dalam konteks bahagian pendidikan JAKIM, peruntukan sepertimana yang dipohon oleh institusi pendidikan agama Islam negeri, yang itu semuanya telah diuruskan", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD