
BANGI, 12 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius penganjuran satu perhimpunan yang didakwa mengambil kesempatan sempena Hari Wanita Antarabangsa untuk mempromosikan tuntutan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
- JAWI telah mengambil tindakan susulan terhadap perhimpunan yang didakwa mengaitkan tuntutan hak wanita dengan perkara bertentangan hukum syarak.
- JAKIM menasihati masyarakat Islam agar berhati-hati mengaitkan perkara bercanggah dengan ayat-ayat suci al-Quran.
- Ada pihak didakwa cuba mengaitkan perkara tidak benar untuk menghalalkan yang tidak dibenarkan; tindakan lanjut sedang diusahakan.
- Orang ramai diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dijalankan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengambil tindakan susulan berhubung penganjuran perhimpunan tersebut yang didakwa mengaitkan tuntutan hak wanita dengan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Nasihat kami kepada masyarakat Islam di Malaysia agar sentiasa berhati-hati, khususnya apabila mengaitkan perkara yang bercanggah dengan hukum syarak dengan ayat-ayat suci al-Quran.
“Ada pihak yang mengaitkan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak benar dan cuba menghalalkan perkara yang tidak dibenarkan. Tindakan lanjut sedang diusahakan oleh JAWI bersama pihak berkuasa lain bagi mengambil tindakan sewajarnya.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Justeru, masyarakat diminta bertenang dan tidak terus menghukum kerana tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau ditemui setelah melancarkan Pelan Pembangunan Kompetensi dan Kamus Kompetensi JAKIM serta merasmikan ILIM Centre of Excellence (ICE) di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi.
Menurutnya, tindakan itu susulan isu berkenaan tular di media sosial serta maklumat rasmi yang diterima pihak berkuasa berhubung perhimpunan tersebut.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan dijalankan.