fb fb fb fb fb

JAKIM sentiasa sokong gagasan Kerajaan Madani

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 November- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan sentiasa menyokong gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melahirkan masyarakat Madani yang berakhlak tinggi, bersempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, JAKIM akan mempelbagaikan lagi program-program yang berbentuk modal insan kepada golongan belia bagi memastikan mereka mampu mencapai wawasan tersebut.

"Bagi pihak JAKIM, kita mendoakan semoga kerajaan yang memerintah pada hari ini akan terus melangkah dengan lebih cemerlang lagi untuk membawa hala tuju membentuk negara Madani. Kita akan fokus kepada program-program untuk membangunkan modal insan terutamanya dengan nilai-nilai akhlak, nilai Madani yang kita inginkan, insya-Allah," kata Hakimah pada majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Madani di Dewan Seri Siantan di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Jemaah Menteri.

Lebih 5,000 orang hadir pada majlis tersebut yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, penjawat awam dan juga pelajar tahfiz.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM