MELAKA, 2 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited dalam memantau peruntukan yang disalurkan ke setiap negeri khususnya program yang berkaitan golongan sasar seperti mualaf.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pemantauan bukan sahaja melibatkan aspek penggunaan kewangan tetapi sejauh mana program daripada dana tersebut membawa impak besar kepada masyarakat.
Katanya dalam melaksanakan sesuatu program perlu mengambil kira budaya lokaliti setempat kerana mahu semua yang terlibat, merasa dan menjadi sebahagian daripada program tersebut.
“Prosesnya sedia ada kita memang memantau setiap apa yang kita peruntukan itu perlu ada laporan, pemantauan dan ada bahagian- bahagain yang akan melaksanakannya. Kita juga mengukur sejauh mana impak program tersebut dari semasa ke semasa," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Mahabbah Tahun Baharu Cina Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024 di Pengkalan Rama di sini hari ini.
Dalam pada itu, di Melaka, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyediakan peruntukan zakat tahunan bagi golongan mualaf berjumlah RM14.7 juta bagi tahun ini.
Tambah Dr Zulkifli, pihaknya akan memastikan jumlah pendakwah bertauliah sentiasa mencukupi di setiap lokasi yang mempunyai mualaf agar golongan tersebut sentiasa mendapat akses mengenai agama Islam dengan mudah, pantas dan tepat.
Katanya ini termasuk menambah jumlah pendakwah pada setiap tahun dalam pelbagai kategori termasuk dari usia muda dan senior serta pelbagai kepakaran, mengikut keperluan lokaliti penempatan pendakwah tersebut.
"Bahagian dakwah di peringkat Persekutuan memang sudah ada pendakwah yang ditempatkan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dan kita ada bekerjasama dengan majlis agama negeri dan NGO yang membantu dalam hal ini.
"Jadi kita bergerak secara bersama dan kemahiran pendakwah-pendakwah ini akan diperkukuh dari semasa ke semasa," katanya.