
GOMBAK, 18 Mac – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta rakan strategik swasta menyantuni lebih 3,000 warga kota menerusi Program ‘Jom Balik Kampung’ malam tadi.
- Kerjasama JAKIM, LLM dan sektor swasta memudahkan perjalanan pulang menyambut Aidilfitri serta meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
- Dr. Zulkifli mengucapkan terima kasih dan mendoakan keselamatan, kejayaan serta rezeki kepada semua yang menyokong program.
- Barangan makanan sedia makan diagihkan kepada pemandu di Plaza Tol Gombak, disumbang oleh MRA, Nestle, Gardenia dan Mamee.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, kolaborasi itu bertujuan membantu melancarkan perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia sangat prihatin, dengan sektor swasta dan kerajaan berganding bahu untuk berkongsi rezeki serta menyumbang kepada rakyat yang kini bersemangat untuk pulang ke kampung.
“Kami mendoakan agar semua selamat sampai dan kembali. Kepada semua yang bekerjasama pada hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Semoga semuanya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program ‘Jom Balik Kampung’ di sini yang turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM Dr. Muhammad Yamin Ismail.
Barangan berupa makanan sedia untuk dimakan diberi kepada para pemandu kenderaaan di Plaza Tol Gombak, Selangor. Antara penyumbang sektor swasta yang terlibat ialah Malaysia Relief Agency, Nestle, Gardenia dan Mamee.