PAROI, 8 Oktober - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memperkasa Inisiatif Lelaki Qawwam dengan melancarkan logo dan audio siar atau 'podcast' khas bagi memberi kefahaman tentang peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela keluarga serta masyarakat berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata inisiatif itu mampu mengekang pelbagai isu pengabaian tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberi nafkah, perceraian dan kelemahan komunikasi.
“Apabila lelaki memahami tanggungjawab mereka dan tidak cuai melaksanakannya, keluarga akan menjadi lebih baik.
“Keluarga yang sejahtera akan membentuk masyarakat yang baik, dan akhirnya melahirkan Negara MADANI seperti yang disebut dalam al-Quran, baldatun toyyibatun warabbun ghafur — negara yang baik serta mendapat keampunan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan, hari ini.
Logo rasmi Inisiatif Lelaki Qawwam menjadi identiti visual utama yang melambangkan kesatuan agenda pengukuhan peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga, masyarakat dan negara.
Sementara itu, audio siar atau 'podcast' Qawwam diperkenalkan sebagai platform advokasi digital dengan pendekatan lebih santai, inklusif dan berkesan bagi menarik minat khalayak pelbagai lapisan.
Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha yang digariskan dalam Pelan Transformasi Al-Falah dan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI), melibatkan kerjasama 14 agensi agama peringkat persekutuan dan negeri, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi (IPT).