AYER KEROH, 16 Mac - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membuat lima tangkapan atas kesalahan ponteng puasa dan menjual makanan kepada umat Islam yang berpuasa setakat semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti hasil aduan orang awam dan intipan pihak penguatkuasa JAIM.
Katanya, operasi susulan akan terus dilakukan sepanjang Ramadan ini bagi mengekang kesalahan tersebut.
Selain kesalahan ponteng puasa, JAIM turut membuat pemantauan bagi pungutan derma khairat yang tidak mendapat kebenaran dan melanggar peraturan.
Ia berikutan ada segelintir pihak didapati mengambil kesempatan untuk mengutip derma tanpa kebenaran.
"Saya beri contoh yang melanggar peraturan ini apabila suatu badan bukan kerajaan (NGO) sesuatu badan dibenarkan membuat kutipan derma ia ada syarat-syaratnya.
"Tidak boleh sewenang-wenangnya, antara syarat dia ialah tabung derma tersebut mestilah ada orang yang mengendalikan dan setiap derma itu ada resit yang diberikan, tidak boleh meletakkan tabung contoh di kedai-kedai makan dan tinggalkan begitu sahaja.
"Itu tidak boleh, itu melanggar peraturan," kata Rahmad kepada pemberita selepas menjalankan operasi penguatkuasaan, di sini.