fb fb fb fb fb

Jaga kesopanan, kesusilaan dalam media sosial - Sultan Selangor

Foto FB Selangor Royal Office

SERDANG, 25 November- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika berkomunikasi khususnya dalam media sosial.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM, menasihatkan graduan supaya elak melemparkan komen keterlaluan atau mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian serta hasad dengki membabitkan isu kaum, agama dan Institusi Diraja (3R).

"Kepada para graduan, beta menyeru agar terus berusaha dalam bidang pekerjaan yang diceburi dan melaksanakannya dengan jujur serta berintegriti pada setiap masa. Graduan juga perlu menjaga kesopanan, kesusilaan dengan berhemah ketika berkomunikasi khususnya dalam media sosial.

Janganlah sampai memberi komen-komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki terutamanya membabitkan isu 3R iaitu Institusi  Diraja, agama dan kaum kerana ia boleh merosakan pemikiran masyarakat, mengundang perbalahan dan mengancam perpaduan sesama kita," titah baginda pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47, sidang kedua sesi satu di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Titah baginda lagi, graduan juga perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara supaya bebas daripada salah laku yang boleh mencalar maruah keluarga, bangsa serta negara.

"Beta ingin menggesa para graduan, sentiasa berusaha untuk meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari. Graduan juga perlu menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara sekali gus menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi dalam memajukan negara yang dicintai," titah baginda lagi.

Terdahulu, baginda berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Tan Sri Azman Hashim serta Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Datuk Dr Abu Bakar Salleh dan Profesor Emeritus (Anumerta) kepada Allahyarham Datuk Dr Yaakob Che Man.

Pada majlis itu, baginda juga berkenaan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma kepada 773 graduan pelbagai program pada sesi pertama istiadat.

Seramai 6,051 graduan pelbagai peringkat pengajian diraikan pada istiadat sidang dua membabitkan 520 graduan PhD, Sarjana (1,532), Bacelor (3,988) dan Diploma (11) yang berlangsung selama enam hari.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM