fb fb fb fb fb

'Jadikan rumah Ru’RASA syurga bersama keluarga' - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua kiri) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua kanan) pada Majlis Pengurniaan Kunci Ru'RASA Daerah Raub di Raub hari ini

RAUB, 10 Julai- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) menjadikan rumah kurniaan tersebut sebagai 'syurga' bersama keluarga.

Titah baginda, kesemua 17 penerima rumah Ru’RASA hari ini hendaklah menjaga rumah terbabit dengan sebaik mungkin.

"Jagalah rumah ini sebaik mungkin... jadikan ia sebagai syurga kepada anak cucu. Ditambah lagi rumah ini cukup dekat dengan masjid dan banyak berkatnya," titahnya pada Majlis Pengurniaan Kunci Ru'RASA Daerah Raub di sini hari ini.

Ketibaan baginda turut diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, salah seorang penerima, Rosmini Pawi melahirkan rasa syukur kerana memiliki kediaman sendiri.

"Saya terharu dan bersyukur sangat kerana dianugerahkan sebuah rumah impian yang selama ini kami sekeluarga tak mampu untuk dapatkan," katanya.

Sebelum ini, Rosmini, ibu kepada dua orang anak telah mendiami rumah sewa selama sembilan tahun, selain turut menjaga kakak iparnya yang menghidap strok.

Dalam majlis sama, penerima turut menerima sumbangan barangan makanan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

SITI AISHAH MD ISA