KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Al-Quran memberikan panduan yang holistik dalam kepimpinan sesebuah kerajaan, pengurusan diri dan hala tuju kehidupan bermasyarakat
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan mematuhi ajaran al-Quran, kerajaan mampu membina sebuah negara yang makmur dan harmoni berdasarkan integriti, kejujuran dan ketelusan dalam tadbir urus ke arah pengukuhan institusi.
"Keadilan adalah salah satu prinsip utama Al-Quran. Al-Quran mengarahkan kita untuk berdiri teguh untuk keadilan, sebagai saksi untuk Allah, walaupun ia menentang diri sendiri atau ibu bapa dan sanak saudara (Al-Quran 4:135). Sebagai pemimpin, diamanahkan untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua kelompok masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau status," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program World Quran Symposium 2024 bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-64 di ibu negara.
Tambahnya, Al-Quran juga memberi galakan untuk ummah berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua usaha aspek, sama ada dalam tadbir urus, ekonomi, pendidikan atau inovasi untuk merealisasikan potensi rakyat dan negara, serta meningkatkan daya saing.
Ianya sejajar dengan konsep "Malaysia MADANI" juga merupakan kerangka yang diperkenalkan kerajaan yang bertujuan untuk membentuk landskap sosio-ekonomi dan politik negara.