fb fb fb fb fb

Jabatan Perikanan Sarawak bakal ditubuh hujung tahun ini

Datuk Sri Stephen Rundi Utom bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Baharu dan Pelancaran Logo LKTS di Bangunan DCCI, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching

KUCHING, 14 April- Jabatan Perikanan Sarawak dijangka ditubuhkan selewat-lewatnya hujung tahun ini, bagi memperkukuh pembangunan sektor perikanan negeri secara lebih holistik dan tersusun.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Stephen Rundi Utom, ketika ini pihak kementerian sedang dalam proses akhir menyiapkan kertas kerja penubuhan jabatan tersebut sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita akan laksana melalui ordinan yang bersesuaian. Sabah sudah ada contoh pelaksanaan mereka dan kita sedang kaji bagaimana mereka melaksanakannya. Kalau ikut perancangan, mungkin kita bentangkan sama ada pada sesi Mei atau November tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, penubuhan jabatan itu kelak akan menyokong peranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan sektor perikanan di Sarawak, termasuk dari aspek pembangunan komuniti nelayan, penyelidikan serta pengurusan sumber marin secara lestari.

Datuk Sri Stephen turut memaklumkan idea penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak telah digariskan sejak tiga tahun lepas, namun mengambil masa dari segi penyediaan dasar dan pelaksanaan struktur pentadbiran yang sesuai dengan keperluan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat Baharu dan Pelancaran Logo Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) di Bangunan DCCI, Jalan Ong Tiang Swee, Kuching pagi tadi.

Dalam majlis sama, LKTS turut mengumumkan perpindahan operasi rasmi mereka dari Wisma SEDC ke lokasi baharu di Bangunan DCCI sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem penyampaian dan pentadbiran agensi tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE