LANGKAWI, 17 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Kedah menyita tiga buah bot pukat tunda Zon C dan peralatan menangkap ikan dengan nilai sitaan dianggarkan RM1.7 juta kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Ketiga-tiga bot berkenaan ditahan oleh enam anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (KOPP) pada jarak 1.4 batu nautika hingga 2 batu nautika daripada daratan atau pulau terhampir di perairan Langkawi.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang berkata, ketika dihampiri, tekong bot bertindak memotong peralatan bot pukat tunda bagi mengelak disita dan cuba melarikan diri.
Namun usaha tersebut gagal dan tekong bot diarahkan untuk mengambil kembali pukat yang dipotong.
“15 nelayan terdiri daripada dua warga tempatan, 9 warga Thailand dan 4 warga Kemboja telah ditahan. Manakala hasil tangkapan seberat 2.5 tan metrik bernilai Rm10,000.00 turut dirampas.” Katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana cubaan menangkap ikan kurang 15 batu Nautika dari pantai dan Seksyen 29 akta sama iaitu memusnahkan keterangan yang menuduh dengan membuang bukti.
Pang mengingatkan para nelayan agar sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan agar sumber perikanan negeri ini dapat diurus secara mapan dan mengekalkan Kedah sebagai salah satu negeri yang kaya dengan sumber perikanan.