LANGKAWI, 29 Januari - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia dan Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi memastikan dua spesis lautan terancam iaitu kuda laut dan Ikan badut dapat dipelihara selain menambah biak spesis berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain berkata pemilihan UWL adalah disebabkan pusat berkenaan mempunyai fasiliti lengkap untuk menjalankan pemindahan teknologi pembiakan bagi kedua spesis itu.
Adnan berkata menerusi MoU berkenaan, UWL bertanggungjawabmemastikan kelestarian sumber untuk spesis berkenaan selain pembangunan tangki dan seliaan hidupan marin akuatik tersebut.
"Kita ingin membiakkan induk yang berkualiti. Ini kerana kedua-dua spesis ini tidak begitu banyak di perairan negara ini dan tidak mudah untuk ditangkap.
"Jadi kerjasama dengan UWL mampu mencapai objektif berkenaan. Kita akan membantu dari sudut pembiakan dengan teknologi yang kita ada", katanya demikian kepada wartawan ketika sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Underwater World Langkawi Sdn Bhd (UWL) di sini.