fb fb fb fb fb

Jabatan Penjara sokong Akta Tahanan Rumah

Jabatan Penjara Malaysia menyokong penuh cadangan hukuman alternatif melalui penubuhan Akta Tahanan Rumah / Foto Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR, 6 November – Jabatan Penjara Malaysia menyokong penuh cadangan hukuman alternatif melalui penubuhan Akta Tahanan Rumah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Jabatan Penjara memaklumkan, pelbagai inisiatif akan diperkasa dan diperluas bagi mengurangkan kadar kesesakan di institusi penjara.

"Setakat ini, jumlah penghuni di fasiliti penjara negara adalah sebanyak lebih 74,000 orang, melebihi kapasiti sebenar sebanyak 11.24 peratus, iaitu 87,419 berbanding kapasiti yang boleh ditampung.

"Jumlah tersebut merangkumi 82,482 penghuni dalam penjara dan 4,937 orang dalam komuniti. Kadar pemenjaraan kini adalah 245 per 100,000 penduduk, jauh melebihi kadar purata dunia iaitu 145 per 100,000 penduduk dan dianggap memberi kesan negatif terhadap imej keselamatan negara di mata dunia," menurut jabatan itu menerusi kenyataan.

Sehingga kini terdapat 43 institusi penjara di seluruh negara, dengan 19 daripadanya beroperasi pada kapasiti melebihi 20 peratus, terutamanya di kawasan bandar besar.

Akta Tahanan Rumah dicadang sebagai hukuman alternatif, membolehkan pesalah menjalani hukuman di kediaman masing-masing dengan peraturan dan pengawasan ketat.

Pendekatan ini disamakan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19, yang terbukti berkesan dalam menurunkan kadar jenayah di Malaysia ketika itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN