fb fb fb fb fb

Isu tuntutan kumpulan Sulu: Strategi kerajaan positif

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Kerajaan yakin semua tindakan dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu akan membuahkan hasil yang positif.

Tindakan sedang dilaksana termasuk penubuhan pasukan khas yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan strategi terbaik dilaksanakan bagi menangani isu tuntutan pihak berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, secara umumnya, kerajaan akan memastikan kemenangan demi kepentingan negara dan kedaulatan negara tetap terpelihara.

Dalam pada itu, Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu Terhadap Kerajaan Malaysia menerusi mesyuarat pertama Rabu lalu, antara lain membincangkan berkaitan tindakan undang-undang yang telah diambil kerajaan Malaysia di Sepanyol dan Perancis.

Turut dibincang, isu pembayaran wang serahan berjumlah AS$5,300 setahun.

Katanya, Final Award yang telah dikeluarkan pada 28 Februari lalu tidak menyentuh isu pengambilan wilayah negeri Sabah atau kedaulatan negeri itu oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Pasukan Khas itu turut mengambil maklum bahawa pelantikan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dan semua tindakan bersifat prosedur yang dibuat olehnya, dibatalkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid.

Selain itu, 'Partial Award on Jurisdiction' yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020 oleh Dr Stampa adalah tidak sah dan terbatal.

Sehubungan itu, kerajaan juga mengemukakan permohonan untuk membatalkan Perintah Exequatur dan seterusnya permohonan bagi menggantung penguatkuasaannya.

Mahkamah membenarkan permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award itu pada 12 Julai 2022.


(FOTO FAIL)

Media Baharu