fb fb fb fb fb

Isu sampah: Hentian rehat sementara bakal dibina di laluan LTU

Kesesakan lalu lintas di Lebuhraya LTU pada perayaan Aidilfitri lalu

LIPIS, 25 April- Kawasan hentian rehat sementara bakal dibina di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kechau di Lipis sebagai penyelesaian jangka pendek menangani isu pembuangan sampah di laluan terbabit.

Ahli Parlimen, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan menyediakan tapak sementara bagi kemudahan pengguna jalan raya untuk berhenti berehat dan makan.
 
Pihaknya sudah mengenal pasti tanah seluas 2.4 hektar bagi tujuan itu yang akan dilengkapi tong sampah, kemudahan surau serta jualan makanan.
 
"Kalau ikutkan sini kawasan terbuka, tidak ada tol, maknanya tidak ada lebuh raya, (maka) tidak di bawah kawal selia Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"(Awalnya saya) cadangan kepada pejabat Daerah Lipis (supaya ia dibina) bersebelah perindustrian Kechau, seluas enam ekar.

"(Bagaimanapun) pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan satu tapak di Kampung Relung, (kini) dalam proses membina tapak tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, KKR dalam perancangan untuk membina enam buah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lipis dan Gua Musang, Kelantan.
 
Beliau turut berharap agar isu pembuangan sampah sarap oleh pengguna jalan raya tidak lagi berulang menjelang Hari Raya Aidiladha nanti.

ARTIKEL BERKAITAN
Isu pembuangan sampah di LTU telah dibawa ke KKR, LLM
Aidilfitri: Pengguna LTU diingatkan tidak buang sampah merata-rata

SITI AISHAH MD ISA